Upin & Ipin Universe - Dari Kampung Durian Runtuh Ke Konsol Permainan dan PC Anda

Upin & Ipin, melangkah ke dimensi baharu dengan pelancaran permainan video eksklusif untuk konsol permainan dan pc bertajuk “Upin & Ipin Universe”.

Upin & Ipin Universe - Dari Kampung Durian Runtuh Ke Konsol Permainan dan PC Anda

Industri hiburan tanah air sekali lagi mencatat sejarah apabila siri animasi kegemaran ramai, Upin & Ipin, melangkah ke dimensi baharu dengan pelancaran permainan video eksklusif untuk konsol permainan dan pc bertajuk “Upin & Ipin Universe”.

Permainan yang dibangunkan oleh Les’ Copaque Production dengan kerjasama pembangun permainan dari Jepun, KawaTech Studio, ini telah diperkenalkan secara rasmi di sebuah acara khas yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur. 

Gabungan Animasi Tempatan & Teknologi Global

“Upin & Ipin Universe” memanfaatkan sepenuhnya kuasa grafik dan keupayaan pemproses dengan visual 4K, mod permainan terbuka (open world) dan sokongan realiti maya (VR). Pemain boleh meneroka Kampung Durian Runtuh, menyertai aktiviti bersama watak-watak ikonik seperti Kak Ros, Tok Dalang, Mail dan Jarjit, serta menyelesaikan pelbagai misi pendidikan dan hiburan.

Menurut CEO Les’ Copaque, Hajah Ainon Ariff, projek ini mengambil masa hampir tiga tahun untuk disiapkan. “Kami mahu membawa dunia Upin & Ipin ke satu tahap baharu yang bukan hanya menyeronokkan, tetapi juga mendidik. Teknologi dalam permainan konsol dan pc membolehkan kami mencipta pengalaman yang sangat realistik dan menyentuh jiwa,” ujarnya.

Ciri-Ciri Menarik dalam Permainan:

  • Mod Cerita (Story Mode): Ikuti kisah pengembaraan Upin dan Ipin mencari rahsia ‘Batu Semangat’ di seluruh kampung.
  • Mini Games: Termasuk permainan tradisional seperti congkak, gasing, dan galah panjang.
  • Mod Pendidikan: Kandungan interaktif yang mengajar sains, matematik dan nilai murni dalam gaya yang menyeronokkan.
  • Multiplayer Co-op: Bermain bersama rakan-rakan secara dalam talian atau bersemuka.

Sambutan Menggalakkan dari Komuniti

Ulasan awal daripada pengulas permainan menyatakan bahawa “Upin & Ipin Universe” mempunyai potensi untuk menjadi "game changer" dalam arena permainan video tempatan. Ia bukan sahaja memikat hati kanak-kanak, malah golongan dewasa yang membesar bersama siri animasi ini turut teruja.

Permainan ini boleh di dapati dialam platform atas talian, dan disertakan dengan edisi kolektor eksklusif yang mengandungi figura mini Upin dan Ipin, serta buku seni konsep permainan.

Pelancaran “Upin & Ipin Universe” di platform Sony Playstation, Nitedndo Switch, Steam serta Epic GameStore bukan sahaja membuktikan kebolehan industri kreatif tempatan bersaing di peringkat antarabangsa, malah membuka ruang untuk lebih banyak kandungan lokal diterjemahkan dalam format digital yang canggih. 

Sememangnya, ini adalah satu langkah besar bagi animasi Malaysia dan satu lagi kebanggaan buat negara.